Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

0 Comments

harga toyota bandung

Hampir dua tahun lalu, kami telah membawakan hasil ‘karya’ pertama dari Dream Street Restortion, iaitu sebuah Proton Satria GTi yang diberikan tag DSR-001-C99. Ketika itu, DSR masih belum ada fasiliti sendiri, dan ‘menumpang’ di bengkel vendor mereka. Selain dari melakukan kerja-kerja restorasi dan blueprint enjin serta transmisi, waktu itu juga DSR telah memperkenalkan beberapa produk ringkas seperti set karpet kaki, tombol gear dan set padel aloi dengan logo mereka sendiri.

Nampaknya apa yang diusahakan dua pengasas DSR ini iaitu Suriya Sankaran dan anaknya Dharveen Suriya bukan perkara main-main; mereka yang sebelum ini menetapkan matlamat DSR dengan membayangkan firma-firma restorasi luar negara seperti Singer Vehicle Design dan Built By Legends telah membuktikan kata-kata tersebut menerusi fasiliti sehenti Dream Street Restoration yang dibuka secara rasmi minggu lalu.

Fasiliti yang terletak di No. 13, Jalan TS 6/4, Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor ini bukan sahaja menjadi pangkalan mereka untuk melakukan kerja-kerja restorasi, malah sekarang di bilik pameran yang digelar ‘Dream Hub’ dalam bangunan berkenaan sudah dipenuhi dengan pelbagai produk yang dibangunkan bersama vendor-vendor DSR secara serius, dari kelengkapan aksesori kosmetik, sehingga ke peralatan prestasi, elektronik malah untuk sistem infotainmen khas untuk model-model legenda Proton dari siri C99 (Wira 1.8 LE, Satria GTi, Satria R3 dan Putra) serta Satria Neo!

Dalam Dream Hub, penulis tertarik dengan set cagak enjin dan juga set bushing suspensi lengkap untuk Proton C99 yang diletakkan dalam satu rak pameran. Menurut En.Suriya, ketika dia mula melakukan kerja-kerja restorasi untuk model-model Proton C99, alat ganti asli yang dikeluarkan oleh pengilang OEM sangat sukar untuk ditemui, manakala komponen yang banyak dijual kedai-kedai alat ganti pula tidak memberikan kualiti yang sama seperti komponen asli terutama pada karekter dan juga ketahanan getah yang digunakan.

Jadi DSR perlu mencari penyelesaian, dan semua komponen cagak dan bushing yang anda boleh temui di Dream Hub DSR ini adalah dibangunkan bersama vendor mereka iaitu Lokco Automotive. Pembangunan untuk komponen-komponen berkenaan dilakukan dengan cukup serius. Setiap getah untuk komponen berbeza menggunakan adunan getah yang berbeza mengikut tugas masing-masing, yang menampilkan kualiti bukan sahaja hampir dengan alat ganti asli, malah lebih baik menggunakan teknologi pembuatan terkini.

Malah untuk siri terbaharu set cagak enjin untuk Proton C99, Lokco Automotive telah menghasilkan set yang direka khas sesuai dengan kerekter enjin blueprint 4G93P 1.8 liter DOHC DSR yang sememangnya lebih stabil dan responsif dari enjin yang keluar dari kilang Proton.

Satu lagi masalah yang menghantui pemilik-pemilik Wira/Satria/Putra adalah papan litar bercetak atau printed circuit board (PCB) untuk panel meter, yang kerap terbakar; bukan sahaja menyebabkan meter dan lampu tidak berfungsi, malah kadang kala mengganggu operasi enjin.

Penyelesaiannya, DSR hadir dengan PCB yang diberi nama FRR PCB FR4 SMT Connectors. Berbanding PCB asli yang nipis dan lembut, PCB dari DSR ini jauh lebih kukuh dan tebal kerana diperbuat dari resin yang diperkuat gentian kaca, yang lebih tahan panas dengan penarafan tahan api tahap 4. Malah penyambung-penyambung wayar pada PCB ini juga diperbaharui dengan teknologi cagak permukaan (surface mount technology), yang membolehkan ia bertahan walaupun penyambung wayar berkenaan dibuka/pasang dengan kerap.

Untuk meningkat kuasa enjin, DSR turut ada menghasilkan aci sesondol prestasi tinggi. Tetapi apa yang paling menarik, mereka turut membangunkan kotak komputer enjin berprestasi yang boleh anda gunakan, tanpa memerlukan lagi sokongan talaan dari komputer piggy back mahupun sistem pengurusan enjin stand alone.

Ini kerana kotak komputer yang dibangunkan oleh DSR berasaskan kotak komputer VDO asal berkenaan telah pun diberikan pemetaan baharu yang lebih berprestasi. Malah talaan pada pemetaan kotak komputer istimewa tersebut turut boleh ditala semula mengikut keperluan ubahsuai mekanikal yang telah dibuat pada sesebuah enjin.

Sebuah Satria Neo berwarna kuning yang anda lihat dipamerkan di dalam Dream Hub ini merupakan antara projek terbaharu dari DSR. Jika anda ingat balik, pada 14 Julai 2012, Proton telah mendedahkan model konsep Satria Neo S2000 Concept di Plaza Angsana Johor Bahru ketika berlangsungnya pusingan ke-4 Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2012.

Ketika itu Proton bercadang untuk menghasilkan versi produksi model konsep berkenaan dalam jumlah hanya 300 unit dengan enjin CPS yang disuap supercharger secara standard, sebagai meraikan kejayaan jentera rali sebenar Satria Neo S2000 menyapu bersih gelaran juara APRC dalam kategori pemandu dan pengeluar untuk musim 2011.

Namun projek berkenaan tidak jadi untuk direalisasikan – dan unit Satria Neo dengan kit badan S2000 Concept yang boleh anda temui di DSR Dream Hub ini adalah unit prototaip pembangunan sebenar Satria Neo S2000 Concept, dan ia telah lengkap menerima kit superchager dari Sprintex seperti yang dirancang oleh Proton R3 10-tahun lalu! Macam mana ia boleh berada di tangan DSR? Seperti yang telah kami beritahu sebelum ini, En. Suriya merupakan salah seorang ahli pasukan R3 ketika era berkenaan yang membangunkan model-model edisi terhad R3.

Perincian penuh berkenaan Satria Neo S2000 Concept ini akan kami bawakan kepada anda selepas ia siap 100% nanti. Tetapi sebelum itu, bagi mereka yang berminat, DSR telah menghasilkan semula kit badan S2000 Concept ini untuk dijual kepada umum.

Bukan itu sahaja, DSR turut telah menghasilkan bonet hadapan untuk Satria Neo yang diperbuat dari lapisan Karbon Basah tenunan berkembar (twin weave wet carbon) bersama lapisan gentian kaca, sama seperti bonet hadapan model edisi terhad Satria Neo R3 Lotus Racing.

Bonet berkenaan telah melepasi ujian pembangunan CMSS (ujian komponen material) Proton yang sama seperti penghasilan bonet hadapan Satria Neo R3 Lotus Racing. Ujian CMSS tersebut terdiri dari tiga ujian utama iaitu ujian membengkok (bending test) untuk simulasi pelanggaran, ujian haba (heat test) untuk mengelakkan ia meleding dalam suhu tinggi, serta ujian semburan pasir (sand blast test) bagi memastikan kualiti dan kekuatannya.

Berat keseluruhan bonet gentian karbon ini ditimbang hanya 6 kg, berbanding 12 kg untuk bonet logam asal. Sekali lagi diingatkan, ia sesuai untuk dipasang untuk semua varian Satria Neo.

Selain dari bonet, DSR turut telah menghasilkan bumbung untuk Proton Putra dari material yang sama, yang bukan sahaja menyelesaikan masalah bumbung berkarat yang menghantui pemilik-pemilik Putra, malah ia turut lebih ringan dan juga lebih kuat. Kedua-dua produk ini boleh anda beli di DSR dan bawa pulang, namun anda perlu tahu bahawa untuk memasang bumbung karbon berkenaan bukan kerja mudah.

Bumbung karbon ini tidak boleh dikimpal seperti proses pemasangan bumbung logam biasa, dan ia perlu menggunakan teknik rivet serta menggunakan bahan perekat gred industri penerbangan. Dan proses pemasangan ini ada disedia oleh DSR menerusi tenaga-tenaga pakar mereka.

Misi DSR adalah untuk memastikan model-model lagenda Proton ini terus relevan untuk dipandu seperti kereta-kereta baharu buat masa sekarang. Jadi DSR turut membangunkan sistem infotainmen dan sistem bunyi yang canggih untuk Proton lama anda.

Buat masa sekarang DSR hadir dengan skrin infotainmen Android dalam pilihan 8- dan 9-inci dari Dynavin khas untuk Satria Neo, dengan pilihan pelbagai pembesar suara dan subwoofer yang sesuai dengan hatchback berkenaan (plug & play, tanpa pengubahsuaian dan masih menggunakan pendawaian asal) dari Harmon Infinity.

Ketika kunjungan kami ini juga, DSR menunjukkan bahawa mereka kini sedang menghasilkan cermin pandang belakang digital untuk Satria Neo bersama Pro ICE Sales & Services (M) Sdn Bhd, yang bukan sahaja memberikan pandangan belakang yang lebih jelas (Satria Neo mempunyai tiang-C yang sangat tebal, menyebabkan titik buta yang agak besar), malah ia turut memberikan fungsi dashcam bina dalam.

Anda juga boleh mendapatkan seleksi rim-rim yang agak ringan di fasiliti DSR ini, keluaran pengeluar rim tempatan iaitu Advanti. Kenapa Advanti? Kalau anda nak tahu, kebanyakkan rim ringan yang dijual oleh R3 di zaman kegemilangannya dulu adalah dihasilkan oleh Advanti, termasuk rim yang masih digunakan oleh kereta lumba Iriz dan Saga R3 buat masa sekarang.

Sekali lagi kami beritahu, DSR bukan sahaja menyediakan perkhidmatan untuk membuat proses restorasi lengkap untuk sesebuah kereta. Malah anda juga boleh berkunjung ke fasiliti mereka ini untuk membeli komponen-komponen yang telah mereka bangunkan. Dengan fasiliti baharu ini juga, kereta-kereta yang telah siap menerima restorasi penuh boleh kembali ke DSR untuk membuat servis dan penyelenggaraan.

Apa pun, kami ucapkan tahniah kepada DSR kerana tak sampai dua tahun, mereka telah mencapai tahap yang agak mengkagumkan!

Promo toyota bandung