Kia EV6 GT-Line 2022 di Malaysia – bateri 77.4 kWj, jarak gerak 506 km, 325 PS/605 Nm; cecah RM300k?

0 Comments

harga toyota bandung

Selepas dilihat di Malaysia tempoh hari, Kia EV6 kini telah dipamerkan secara rasmi di Glenmarie Golf and Country Club sempena kejohanan Professional Golf of Malaysia (PGM) Kia Championship 2022, yang berlangsung dengan kerjasama pengedar Kia tempatan, Dinamikjaya Motors.

EV6 merupakan model produksi elektrik sepenuhnya pertama dari Kia yang telah didedahkan pada peringkat global Mac lalu, dan ia dihasilkan menerusi platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) sama dengan Hyundai Ioniq 5, yang telah pun dilancarkan di sini. EV6 turut akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia tidak lagi, dilaporkan mungkin pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

Model yang dipamerkan ini adalah dari versi GT-Line, yang menampilkan perincian luaran seperti pelindung ruang roda yang diwarnakan dengan warna badan, serta apron hadapan lebih agresif dengan serlahan hitam berkilat. Apron belakang juga berbeza dari versi Wind biasa, serta diberikan rim 20-inci bersama tayar 255/45R20.

Manakala untuk bahagian kabin, ia menampilkan warna hitam sebagai tema utama bersama serlahan-serlahan putih. Dua skrin bersaiz 12.3-inci diletakkan pada papan pemuka, serta hadir dengan perincian lain yang kami boleh lihat melalui cermin tingkap seperti sistem pendingin hawa dua-zon, upholsteri kulit vegan dan sued serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Berdasarkan pada nombor casis (VIN) pada cermin hadapan, EV6 yang dipamerkan ini adalah model pacuan semua roda dengan unit rangkaian kuasa versi Long Range, disertakan dengan bateri lithium-ion 77.4 kWj yang mampu bergerak sejauh 506 km dengan satu cas penuh .

Ia juga menerima dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork maksima 605 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 183 km/j.

Sebagai perbandingan, Hyundai Ioniq 5 dalam varian tertinggi Max menerima bateri 72.6 kWj untuk jarak gerak sejauh 430 km, bersama konfigurasi dua motor elektrik pacuan semua roda berkuasa 305 PS (302 hp atau 225 kW) dan tork maksima 605 Nm membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j juga dalam masa 5.2 saat, dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 185 km/j.

Mungkin ramai yang sudah tengok sendiri Ioniq 5 depan mata – nampak macam saiz VW Golf dalam gambar, tetapi ia sebenarnya jauh lebih besar sehingga rim 20-inci pada hatchback berkenaan nampak seperti hanya 17-inci. EV6 ini pula adalah lebih besar dari Ioniq 5 dengan dimensi panjang 4,695 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,550 mm dan jarak roda sejauh 2,900 mm.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah unit yang dibawa untuk pra-tonton dan model sebenar untuk spesifikasi pasaran Malaysia masih belum dimuktamadkan. Kami jangkakan EV6 ini akan dijual pada harga lebih mahal dari Ioniq 5 kerana menampilkan perincian lebih baik seperti bateri dengan kapasiti lebih besar dan juga suspensi adaptif.

Buat masa sekarang Ioniq 5 dijual pada harga bermula RM200k sehingga RM270k (spesifikasi penuh dengan waranti yang dipanjangkan), dan tempoh menunggu bagi mereka yang menempah sudah mencapai setahun. Jadi mungkin EV6 ini akan dijual pada harga mencecah RM300k?

Promo toyota bandung