MBPP tebang 19 pokok kelapa, elak insiden buah kelapa gugur atas pengguna jalan raya berlaku lagi

0 Comments

harga toyota bandung

Selepas tular video berdurasi 28 saat memaparkan seorang pemboceng motosikal terjatuh akibat terkena buah kelapa yang gugur dari pokok di tepi jalan didakwa berlaku di Pulau Pinang semalam, hari ini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan operasi untuk menebang pokok-pokok kelapa di kawasan berlakunya insiden tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dalam laporan Berita Harian, kerja-kerja menebang 19 pokok kelapa yang dikenal pasti berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan di Jalan Teluk Kumbar berkenaan membabitkan 15 petugas MBPP serta dua jentera angkat atau skylift bermula jam 2.45 petang tadi.

“Bermula dengan 11 pokok yang kita kenal pasti pagi tadi telah meningkat kepada 19 pokok setakat ini dan mungkin juga bilangannya boleh bertambah lagi dengan radius pemerhatian kami sejauh lebih 1 kilometer. Kami berharap urusan menebang kesemua pokok itu selesai lewat petang ini bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan jalan itu,” katanya dalam laporan akhbar tersebut.

Azrul turut menyatakan bahawa kesemua pokok kelapa dari Jalan Teluk Kumbar hingga Jalan Sungai Batu terbabit berada di atas tanah milik MBPP yang dijadikan rizab jalan selain tanah milik persendirian, namun buat masa ini pihaknya tidak menerima bantahan pemilik pokok berkenaan dan kebanyakan pokok kelapa itu hanya dibiarkan tanpa dijaga rapi atau dikutip hasil oleh pemiliknya.

Berita Harian turut menyebut bahawa selepas melakukan tinjauan, operasi menebang kesemua pokok terbabit agak mencabar kerana ia membabitkan laluan yang agak sibuk menghubungkan Teluk Kumbar dan Balik Pulau dengan satu lorong jalan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan di jalan terbabit.

Laporan akhbar berkenaan turut menyatakan bahawa mangsa yang terlibat dalam insiden semalam itu mengalami kecederaan parah dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Promo toyota bandung