Menteri Kerja Raya akan rasmikan Lebuhraya SUKE malam esok; umum bayaran tol dan tarikh pembukaan

0 Comments

harga toyota bandung

default

Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bakal merasmikan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) esok, 15 September 2022 pada pukul 8 malam. Pada majlis perasmian berkenaan, menteri tersebut turut akan mengumumkan bila Fasa 1 lebuhraya itu akan dibuka, serta bayaran tol yang akan dikenakan untuk menggunakannya.

Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan.

Pembinaannya disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Walau bagaimanapun, pembukaan Fasa 1 ini hanya melibatkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang, manakala pembukaan fasa seterusnya iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) hanya akan dibuka kemudian.

Kami berkesempatan untuk meninjau sendiri Lebuhraya SUKE ini pagi tadi ketika majlis taklimat media dilangsungkan. Selain dapat menyuraikan sebahagian trafik yang semakin padat di Lembah Klang buat masa sekarang, SUKE menampilkan pelbagai ciri unik yang tidak pernah ada pada mana-mana lebuhraya dalam negara sebelum ini, dan ia dibina 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah.

Keunikan SUKE bermula sebaik sahaja kami mula masuk ke Lebuhraya berkenaan di persimpangan Cheras-Kajang (terletak berhampiran dengan Plaza Phoenix, menggunakan laluan Cheras-Kajang Expressway atau turut dikenali sebagai Grand Saga), di mana laluan persimpangan tersebut dibuat dengan tanjakan helicoidal, iaitu tanjakan berbentuk spiral yang memerlukan anda berpusing dua tingkat sebelum masuk ke laluan utama.

Tanjakan unik ini adalah pertama seumpamanya di Malaysia dengan rekaan seakan sama seperti tanjakan ikonik di “Jambatan Pelangi” Tokyo, Jepun dan beberapa tempat di China. Tanjakan ini dibuat kerana ia menghubungkan jalan raya yang berada di atas tanah dengan jambatan yang juga struktur tertinggi untuk jajaran SUKE pada kawasan tersebut, iaitu dengan ketinggian 56.4 meter, atau sama dengan bangunan setinggi 18-tingkat.

Jambatan yang juga merupakan struktur super galang penggalan kekotak (segmental box girder atau SBG) yang terapung tersebut perlu dibina kerana ia perlu merentasi MRT Laluan Kajang di bawahnya. Menurut PROLintas, jambatan tersebut kini menjadi jalan terapung ketiga tertinggi di Malaysia selepas Jalan Bukit Kukus di Pulau Pinang dan Jalan Pintasan Rawang (Rawang Bypass), serta mencatatkan rekod sebagai struktur super tertinggi dalam negara di dalam Buku Rekod Malaysia.

Jadi tanjakan helicoidal tersebut dibina bukan saja-saja, tetapi ia dibuat bagi memastikan laluan persimpangan yang menghubungkan jalan raya di atas permukaan tanah dengan lebuhraya SUKE tersebut tidak terlalu curam dan membahayakan pengguna jalan raya, serta memudahkan kenderaan mendakinya.

Selepas masuk ke Lebuhraya ini menuju ke Hulu Klang, SUKE akan menyajikan pemandangan indah yang kontra antara sebelah kiri dan kanan. Di kiri anda akan dapat melihat secara keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk Menara KL, Menara Berkembar Petronas dan Menara Exchange 106 (TRX), manakala di sebelah kanan pula penuh dengan pemandangan hijau dari Bukit Teratai.

default

PROLintas juga sudah bercadang untuk membina fasiliti Rehat dan Rawat di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan. Kawasan berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan tersebut.

Satu lagi ciri unik SUKE yang sempat kami saksikan depan mata hari ini adalah laluan yang berada di Ampang. SUKE turut dibina di atas Sungai Ampang, jadi bagi memastikan ekosistemnya tersebut tidak terganggu, sungai tersebut kini telah ditegakkan, manakala laluan lebuhraya di atasnya dipisahkan antara kiri dan kanan.

Ini untuk memastikan sungai berkenaan terus menerima cahaya matahari bagi membolehkan hidupan di dalamnya hidup seperti biasa. Malah di kiri dan kanan sungai terbabit kini telah dibina dengan taman linear menampilkan laluan untuk berlari dalam jarak 1.6 km.

SUKE juga menampilkan satu lagi laluan yang tidak pernah ada di Malaysia iaitu laluan bertingkat di mana setiap tingkat berkenaan hanya memberikan laluan sehala – sebagai contoh tingkat pertama menuju ke selatan dan tingkat kedua menuju ke utara. Laluan tersebut dibina di Alam Damai yang terletak di Cheras, namun ia masih lagi belum dibuka untuk kami tinjau kerana terletak pada laluan Fasa 2.

Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak. Bagi yang tinggal atau bekerja di kawasan berkenaan pasti tahu betapa sesaknya ketiga-tiga jalan tersebut buat masa sekarang.

SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

Dua plaza tol akan beroperasi pada pembukaan Fasa 1 Lebuhraya SUKE ini iaitu Bukit Teratai dan Ampang, manakala Fasa 2 nanti akan ditambah satu lagi plaza tol akan beroperasi ketika Fasa 2 dibuka kelak. Seperti yang diberitahu tadi, jumlah bayaran tol-tol ini akan diumumkan oleh menteri ketika pelancarannya malam esok.

Sebelum itu, nikmati dulu pemandangan di SUKE ini menerusi gambar yang kami ambil menggunakan dron pagi tadi. Untuk lebih maklumat berkenaan lebuhraya ini anda boleh baca laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI. Macam mana? Ada yang dah rancang nak meronda kawasan ini selepas ia dibuka nanti?

Promo toyota bandung