Mercedes-AMG One versi produksi didedahkan – enjin F1 1.6L turbo hibrid, 1,063 PS, 0-100km hanya 2.9 saat!

0 Comments

harga toyota bandung

Setelah bertungkus lumus selama lima tahun, model konsep hypercar yang menggunakan enjin jentera F1 sebenar, Mercedes-AMG Project One yang didedahkan di Frankfurt pada 2017 akhirnya kini sudahpun lengkap dijelmakan dalam bentuk produksi jalan raya sebenar. Secara rasmi, hypercar ini digelar sebagai Mercedes-AMG One.

Memindahkan enjin F1 yang digunakan pada jentera yang tugasnya hanya berlumba di litar semata-mata kepada sebuah kereta untuk kegunaan harian yang perlu bertahan ketika digunakan pada pelbagai situasi, serta perlu melepasi undang-undang emisi dan penggunaan bahan api bukan perkara mudah. Ia diluahkan sendiri oleh CEO Mercedes-Benz, Ola Källenius yang secara berseloroh menyifatkan bahawa mereka mungkin ‘sedang mabuk’ ketika meluluskan projek itu.

Secara spesifik, Mercedes-AMG One ini menggunakan enjin PU106C 1.6 liter V6 turbo yang memacu jentera F1 Nico Rosberg bagi membolehkannya dinobat sebagai juara dunia pada musim 2016. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 574 PS pada takat 9,000 rpm, atau output spesifik 359 PS setiap liter.

Enjin untuk versi jalan raya ini, ia menggunakan spring injap pneumatik bagi menggantikan spring injap logam, untuk membolehkan ia lebih tahan untuk menjerit sehingga lebih dari 9,000 rpm. Ia juga menggunakan pengecas turbo rekaan istimewa Mercedes-AMG yang memisahkan bahagian turbin dan pemampat pada masing-masing penghujung enjin, dihubungkan dengan Motor Generator Unit Heat (MGU-H) pada bahagian tengah.

Dengan cara ini ia membolehkan pengecas turbo berkenaan diletakkan lebih rendah (untuk titik graviti lebih rendah) serta memastikan udara yang disedut oleh pemampat lebih sejuk untuk lebih kuasa, kerana ia diletakkan jauh dari turbin yang diputarkan gas ekzos.

Jadi apa pula tugas MGU-H? Ia sebenarnyan merupakan motor elektrik berkuasa 90 kW (122 PS) yang memutarkan kipas pemampat pengecas turbo menggunakan kuasa elektrik sehingga 100,000 rpm, serta mengecas semula kuasa elektrik menerusi putaran dari kipas turbin.

Dengan MGU-H, ia bukan sahaja memberikan lebih kuasa yang terhasil dari putaran pemampat lebih laju, malah turut menghilangkan terus turbo-lag dan didakwa memberikan respon pada takat rpm rendah yang lebih baik berbanding enjin V8 NA.

Enjin ini juga dipadankan dengan satu lagi sistem hibrid elektrik menampilkan Motor Generator Unit Kinetic (MGU-K), yang lebih serupa dengan sistem hibrid biasa. Motor berkenaan dihubungkan kepada aci engkol enjin menerusi gear spur, yang bukan sahaja mampu mengecas semula kuasa elektrik menggunakan kuasa kinetik ketika nyah pecut, malah ia turut mampu membekalkan kuasa tambahan sehingga 163 PS kepada roda belakang.

Kuasa eletrik yang dicas menerusi MGU-H dan MGU-K disimpan pada bateri litium-ion berkapasiti 8.4 kWj (lebih besar berbanding pada jentera F1 W07 Hybrid dan model PHEV GT 63 S E Performance) yang diletakkan di belakang gandar hadapan.

Apa yang istimewa pada Mercedes-AMG One ini adalah ia menerima dua lagi motor elektrik tambahan masing-masing berkuasa 163 PS (menjadikan 240 kW/326 PS secara keseluruhan) pada gandar hadapan, bagi memberikan sistem pacuan semua roda kepada hypercar ini.

Dua motor elektrik tersebut juga memberikan sistem agihan torque vectoring pada gandar hadapan, serta membolehkan roda hadapan dipacu untuk menggerakkan kereta tanpa enjin pembakaran dalaman dihidupkan. Walau bagaimanapun, mod EV penuh pada hypercar ini hanya membolehkan ia bergerak dalam jarak 18.1 km.

Pemadanan dua motor elektrik ini juga adalah sebagai menggantikan kuasa yang ‘hilang’ dari enjin pembakaran dalaman kerana ia perlu mematuhi undang-undang emisi bagi digunakan di atas jalan raya. Antara perkara yang diubah termasuk mengehadkan putaran enjin maksima hanya 11,000 rpm (15,000 rpm pada jentera F1 sebenar) serta memadankan empat unit catalytic converter logam pra-pemanasan, dua catalyst seramik serta dua penapis zarahan.

Perubahan yang dibuat bukan sahaja membolehkan enjin tersebut mematuhi standard emisi Euro 6 serta melepasi ujian Real Driving Emissions (RDE), malah ia juga kini boleh beroperasi dengan petrol komersil super plus unleaded (atau lebih mudah faham, petrol RON 98).

Jadi secara keseluruhan unit rangkaian kuasa petrol hibrid elektrik pada Mercedes-AMG One ini dibekalkan dengan kuasa 1,063 PS. Ia dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac tunggal dengan sistem automasi, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat.

Pecutan dari 0-200 km/j pula hanya mengambil masa 7 saat, manakala pecutan dari 0-300 km/j pula hanya memerlukan masa 15.6 saat. Kelajuan maksima hypercar ini dihadkan secara elektronik pada 352 km/j. Dengan sistem plug-in hybrid, Mercedes mendakawa bahawa kereta ini hanya menggunakan 8.7 liter petrol untuk 100 km dalam ujian kitaran gabungan WLTP.

Bateri lithium-ion pada One ini menggunakan teknologi penyejuk terus yang menyalurkan cecair penyejuk berteknologi tinggi menerusi setiap sel bateri atas hingga bawah, bagi memastikan ia sentiasa memberikan prestasi tahap tertinggi, tahan lama dan selamat.

Namun walaupun menggunakan senibina elektrik 800-volt (yang dikatakan untuk mengurangkan ketebalan kabel dan berat), sistem elektrik kereta ini hanya menerima kuasa mengecas AC 3.7 kW. AMG juga tidak memberikan sebarang spesifikasi berkenaan masa mengecas sistem PHEV tersebut.

Pemandu diberikan enam mod pemanduan. Selain dari mod EV, mod pemanduan lain termasuk Race Safe (membenarkan motor elektrik digunakan lebih kerap), Race (enjin V6 sentiasa hidup setiap masa), Race Plus (kegunaan litar, kuasa paling optimum, sistem aerodinamik aktif dilaras untuk serangan maksimum, suspensi lebih keras serta 37 mm lebih rendah di depan dan 30 mm di belakang).

Ia juga juga hadir dengan mod Strat 2 yang memberikan talaan suspensi lebih keras serta lebih banyak kuasa dikerah dari motor elektrik. Manakala untuk mod Individual, pemandu boleh membuat tetapan sendiri terhadpan enjin, transmisi dan casis yang lebih sesuai dengan corak pemanduan masing-masing.

Mercedes-AMG One ini diasaskan dari kerangka gentian karbon, serta menerima suspensi dalam konfigurasi sambungan lima-titik bersama set penyerap hentak boleh laras dengan pushrod jenis inboard berkembar. Ini membolehkan olengan badan kereta ini diminimakan tanpa penggunaan bar anti-oleng. Pemandu juga boleh memilih tiga tetapan untuk penyerap hentak adaptif iaitu Comfort, Sport dan Sport+.

Bagi set roda, hypercar ini diberikan rim forged magnesium sembilan jejari, yang dipadankan pada hab roda hanya menggunakan satu nat seperti kereta lumba sebenar, bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R M01. Rim hadapan diberikan saiz 19-inci dengan tayar 285/35ZR19, manakala set belakang pula terdiri dari rim 20-inci dengan tayar 335/30ZR20.

Manakala untuk brek, One dilengkapi sistem dengan cakera 398 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 380 mm bersama angkup empat omboh di belakang.

Keseluruhan badan Mercedes-AMG One ini diperbuat dari bahan gentian karbon, dengan rekaan hampir sama dengan model konsepnya sebelum ini. Ia tampil seakan jentera perlumbaan prototaip Le Mans bersama pintu yang dibuka ke atas-depan, membuatkan kita teringat kepada jentera homologasi istimewa Le Mans FIA GT1 era 90’an, Mercedes-Benz CLK GTR.

Ia juga diberikan perincian yang mengaitkannya dengan jentera F1 seperti liang pengambilan udara untuk enjin pada bumbung yang bersambung dengan sirip tengah, penutup enjin dengan liang NACA bersaiz besar untuk menyalurkan udara ke radiator, cermin sisi dengan kaki yang tinggi dan pelbagai lagi.

AMG One ini juga menampilkan kit aerodinamik aktif yang agresif, serta boleh disorokkan sekiranya ia tidak digunakan. Antara kelengkapan aerodinamik aktif ini termasuk flap pada diffuser hadapan, sirip pada bahagian atas kedua-dua fender hadapan dan sayap belakang bersaiz besar – kesemuanya berfungsi untuk meningkatkan downforce serta melaras kesimbangan aero antara hadapan dan belakang hypercar ini.

Ia juga diberikan diffuser bersaiz besar di belakang yang turut menjadi perumah untuk paip ekzos dan injap wastegate sistem turbo. Manakala liang pada bonet hadapan berfungsi untuk menepis udara panas di sekeliling kokpit bagi memberi laluan kepada udara lebih segar kepada sistem pendingin hawa serta liang pengambilan udara pada bumbung.

Komponen-komponen aero aktif ini juga akan berfungsi mengikut tetapan mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu. Untuk mod Highway yang direka untuk pemanduan jalan raya biasa, sirip pada fender dan juga sayap belakang akan diturunkan bagi memberikan penggunaan bahan api lebih baik.

Manakala dalam mod Track dalam Race Plus dan Strat 2, sirip pada fender dan sayap belakang akan dinaikkan sepenuhnya, serta flap pada diffuser akan ditutup bagi memberikan downforce lima kali lebih tinggi pada kelajuan serendah 50 km/j. Ia juga hadir dengan Drag Reduction System (DRS) gaya-F1 yang akan meratakan flap sayap belakang bagi memberikan pecutan lebih tangkas.

Dalam kokpit, AMG One menerima papan pemuka karbon “terapung” yang berbentuk seperti sayap, yang bersambung dengan konsol terowong tengah. Ia turut dipadankan dengan skrin paparan instrumen digital untuk pemandu dan skrin infotainmen di tengah, kedua-duanya bersaiz 10-inci.

Seperti kereta lumba sebenar, kedudukan tempat duduk bucket hypercar ini tidak boleh dilaras (perehat belakang masih boleh dilaras antara 25 atau 30 darjah). Namun untuk menyesuaikan kedudukan pemandu, set pedal box boleh dilaras sama ada secara manual atau secara elektrik menerusi kolum pada roda stereng.

Untuk menambah lebih aura F1 pada kokpit kereta ini, ia turut diberikan roda stereng yang rata di atas dan di bawah, dilengkapi pelbagai perincian termasuk shift light pada bahagian atas, beg udara bersepadu, serta kawalan-kawalan untuk sistem seperi mod pemanduan, suspensi, DRS, sistem traction control dan lain-lain. Ia juga diberikan “kaset” logam solid untuk kawalan penghembus udara dan tingkap, serta cermin pandang belakang digital bagi memberikan penglihatan sebelah belakang kerana kereta ini tidak mempunyai cermin belakang.

Secara keseluruhan, Mercedes-AMG One ini ditimbang dengan berat (termasuk bahan api dan pelbagai cecair) hanya 1,695 kg, walaupun ia dibekalkan dengan banyak kelengkapan elektrik untuk sistem hibrid termasuk bateri lithium-ion dan empat motor elektrik.

Mercedes-AMG tidak mengumumkan harga untuk kereta ini. Namun menerusi pelbagai khabar angin, Mercedes-AMG One ini dikatakan dijual pada harga €2.17 juta (RM10.2 juta) – ini merupakan harga ketika ia didedahkan dalam bentuk konsep pada 2017.

Dengan pelbagai kesukaran dan halangan dihadapi oleh Mercedes-AMG, harga jualannya dalam bentuk produksi jalan raya sebenar ini mungkin lebih tinggi dari harga yang mula-mula disebut lima tahun lalu. Walau bagaimanapun, ada dua sebab mengapa kita tak perlu tahu harga sebenar hypercar ini; pertama kerana kita mungkin tak mampu, dan kedua kesemua unit yang dirancang untuk dihasilkan sebenarnya telahpun habis dijual.



Promo toyota bandung