PANDU UJI: Lexus LM350 – MPV mewah RM1.15 juta; benar-benar lebih mewah dari Alphard & Vellfire?

0 Comments

harga toyota bandung

Definisi ‘mewah’ mungkin berbeza antara setiap orang. Ada yang bila kita sebut ‘kereta mewah’, dia mungkin akan terbayang model-model supecar pantas seperti Ferrari dan Lamborghini. Ada juga sentiasa terbayang bahawa kereta mewah itu adalah sesuatu yang memberikan layanan di raja seperti apa yang ditawarkan oleh Rolls Royce atau Maybach.

Namun untuk kita di Asia, ada satu lagi segmen yang boleh dikategorikan sebagai ‘kereta mewah’, iaitu MPV besar dan premium iaitu Toyota Alphard dan Vellfire. MPV ini menawarkan satu jenis ‘kemewahan’ yang tidak dapat ditawarkan oleh kereta mewah tipikal, iaitu ruang.

Ya, ruang yang ditawarkan pada kabin belakang MPV ini membolehkan anda terasa ia seperti ruang tamu atau bilik tidur bergerak yang boleh membawa anda ke mana sahaja. Walau bagaimanapun, perincian ‘mewah’ pada Alphard dan Vellfire tersebut masih lagi belum mencapai tahap yang benar-benar mewah sekurang-kurangnya pada tingkat yang sama dengan Mercedes-Benz.

Solusinya? Ini dia Lexus LM350, sebuah MPV dengan kerangka yang sama dengan Alphard dan Vellfire, tetapi diberikan ciri-ciri kemewahan sebuah Lexus. Model ini tiba di Malaysia pada April tahun lalu, dengan harga atas jalan tanpa insuran RM1,148,000 ketika dilancarkan, atau sekitar sekali ganda lebih mahal dari varian tertinggi Alphard yang dijual secara rasmi oleh UMW Toyota!

Jadi apa yang membuatkan Lexus LM350 ini jauh lebih mahal dari Alphard dan Vellfire? Adakah semata-mata logo Lexus? Kalau nak tahu, ikuti pengalaman penulis ketika memandu uji MPV mewah yang penulis sendiri mati hidup semula pun mungkin tak mampu lagi nak beli ini.

Sekali tengok, dari luar macam sama saja LM350 ni dengan Alphard/Vellfire. Namun ia sebenarnya diberikan pelbagai perincian unik yang berbeza dari MPV dengan lencana Toyota berkenaan walaupun kerangka badan yang digunakan adalah sama. Pada bahagian luaran, lampu Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan – bahagian ini yang selalunya ‘kantoi’ untuk membezakan LM asli dan LM convert dari Alphard/Vellfire.

Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang. Lampu tersebut menampilkan teknologi LED bersama lampu isyarat membelok jenis sequential.

Model LM 350 pasaran Malaysia ini hanya ditawarkan dalam warna hitam dan White Pearl Crystal Shine, serta menerima banyak kemasan krom di bahagian luaran. Ia nampak serasi dengan rim pelbagai jejari tiga-dimensi berdiameter 18-inci, dibaluti tayar dengan saiz 235/50R18. Rim tersebut memang 1-inci lebih kecil dari Alphard, namun rekaan rim berkenaan sebenarnya menampilkan teknologi untuk mengurangkan bunyi bagi memastikan penumpang mendapat rasa yang lebih diperhalusi. Sekali lagi, jika anda nampak sebuah LM350 tanpa rim asli Lexus ini, ia mungkin model convert.

Masuk ke ruang pemandu, Lexus LM ini masih menyajikan asas papan pemuka yang masih sama dengan Alphard/Vellfire. Perubahan yang nyata diberikan adalah pada konsol tengah di mana LM menerima skrin sesentuh 12.3-inci yang lebih besar.

Ini memerlukan liang penghembus pendingin hawa dialih ke bawah skrin berkenaan dengan posisi melintang, berbanding posisi berdiri dan mengapit skrin pada Alphard. Dan disebabkan model ini masih diasaskan dari Alphard AH30 yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2015, Lexus LM juga tidak dibekalkan dengan paparan instrumen digital.

Sebaliknya pemandu masih menerima paparan meter analog bersama paparan pelbagai info bersaiz 4.2-inci ditengahnya. Malah larasan turun-naik dan teleskopik roda stereng juga masih menampilkan sistem manual tanpa sebarang bantuan elektrik, jadi tiada fungsi larasan automatik roda stereng yang memudahkan pemandu keluar/masuk kokpit seperti model-model Lexus yang lain pada LM ini.

Namun, masih ada perincian yang membuatkan ruang hadapan LM ini sebuah Lexus sebenar. Antaranya roda stereng kayu yang terasa sangat premium, dan juga pad kawalan sesentuh Lexus Remote Touch yang terletak berhampiran tuil penukar gear untuk mengawal fungsi-fungsi pada skrin infotainmen utama.

Sebenarnya tidak ada masalah pun sekiranya Lexus tidak memberi perhatian pada bahagian kokpit ini kerana ia bukan dihasilkan untuk kepuasan memandu. Malah sekiranya anda turun dari pintu pemandu sekalipun, tiada siapa yang akan menganggap anda sebagai pemilik MPV tersebut, dan anda tentu akan terus ‘dicop’ sebagai pemandu, kan?

Segala wang untuk kemewahan berkenaan di bawa ke ruang penumpang kabin belakang. Dengan mengambil Alphard sebagai asas, Lexus LM turut menampilkan lantai yang rendah dan juga pintu gelangsar yang besar bagi memudahkan penumpang untuk keluar dan masuk ke kabin belakang berkenaan.

Apabila pintu gelangsar dibuka, anda disajikan dengan dua tempat duduk mewah pada kabin belakang LM350 ini. Ya, tiada tempat duduk pada baris ketiga, dan ruang yang sangat besar pada kabin belakang hanya diberikan dua tempat duduk agar dua orang penumpang pada bahagian ini mendapat ruang paling selesa dan paling mewah. Namun bukan hanya LM yang menerima konfigurasi seperti ini kerana sebelum ini konsep yang sama telah diperkenalkan menerusi Toyota Alphard Royal Lounge.

Kedua-dua captain seat tersebut direka dengan saiz yang sangat besar. Tempat duduk ottoman berkenaan menampilkan busa kadar-sensitif AdaptiPedic yang sangat selesa dengan larasan perehat belakang dan perehat kaki berkuasa elektrik.

Jika anda masih rasa ruang kaki tak cukup besar, atau rasa terlalu jauh dengan skrin utama, tempat duduk berkenaan turut boleh digelangsarkan ke hadapan atau ke belakang. Malah dengan ruang yang cukup besar, tempat duduk tersebut turut boleh dibaringkan sepenuhnya sekiranya anda mahu tidur seakan di atas katil.

Apa lagi yang ditawarkan oleh tempat duduk ini? Anda turut boleh panaskannya jika rasa terlalu sejuk, atau alirkan udara penghawa dingin untuk menyejukkan tempat duduk tersebut jika anda mahukan. Ia juga dilengkapi dengan fungsi pengurut yang telah diberi tetapan dengan tujuh program urutan badan – namun pada penulis, urutan yang diberikan agak tidak kuat dan tidak terasa; kalau anda biasa guna kerusi pengurut biasa, kekuatan yang diberikan mungkin hanya sekitar 20%.

Kesemua kawalan untuk fungsi-fungsi ini boleh dibuat menerusi satu skrin yang diletakkan pada perehat tangan pada bahagian tengah antara kerusi kiri dan kanan. Bukan sahaja kawalan fungsi-fungsi kerusi, malah fungsi sistem lain seperti infotainmen, pendingin hawa, moonroof, serta lampu suasana kabin turut boleh dibuat pada skrin berkenaan. Perehat tangan tersebut turut hadir dengan suis-suis fizikal untuk kawalan pintu dan juga cermin tingkap.

Di hadapan kedua-dua kerusi tersebut diletakkan skrin gergasi 26-inci 720p (dengan input Blu-Ray dan HDMI serta hubungan Apple CarPlay dan Android Auto), membolehkan anda menonton filem seperti dalam panggung wayang mini, bersama 19-pembesar suara dari Mark Levinson.

Skrin tersebut diletakkan pada perumah yang bukan sahaja bertindak sebagai ‘kabinet’ yang memberikan ruang storan dan menempatkan sebuah peti sejuk kecil yang diletakkan pada bawah skrin gergasi tersebut, malah ia juga mewujudkan kawasan privasi antara kabin belakang dan juga kabin hadapan.

Satu-satunya ruang untuk penumpang kabin belakang untuk berkomunikasi dengan penumpang dan pemandu di kabin hadapan adalah menerusi tingkap yang terletak pada bahagian atas skrin gergasi berkenaan. Tingkap tersebut boleh ditutup dengan cermin kaca yang agak tebal untuk mengelakkan sebarang bunyi dari kabin belakang terdengar ke kabin hadapan. Untuk lebih privasi, cermin kaca itu turut boleh dikaburkan – kesemua kawalan untuk cermin ini juga berada pada perehat tangan utama.

Bagaimana pula ketika ‘ruang tamu’ ini ketika bergerak? Untuk pemandu, tiada sebarang rungutan untuk enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 pada Lexus LM350 ini. Ia menjana 296 hp dan tork maksima 361 Nm, dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Direct Shift, cukup pantas untuk sebuah MPV bergerak dengan selesa, cruising di atas lebuh raya pada kelajuan sekitar 140-150 km/j. Malah jika ‘diperah’, ia masih menyajikan bunyi sebuah enjin V6 sebenar.

Namun, fizik tetap fizik. MPV seperti van ini sudah tentu tidak boleh dibawa mengambil sekeloh seperti kereta. Tetapi masih lagi tidak sukar sekiranya anda mahu memastikan penumpang di kabin belakang sentiasa dalam keadaan selesa dan tidak selalu ‘bergoyang’.

Jika anda duduk di belakang, sesuai dengan harganya, LM 350 ini akan memberikan perjalanan yang sangat selesa. Asas konfigurasi suspensi pada LM 350 ini sebenarnya masih sama dengan Alphard, menampilkan Topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang.

Tetapi apa yang berbeza, LM diberikan penyerap hentak swing valve iaitu teknologi sama dipadankan pada sedan mewah Lexus ES terkini. Komponen berkenaan dibekalkan dengan injap kelikatan-ultra-rendah yang mengawal aliran minyak dalam penyerap hentak tersebut dengan lebih jitu, membolehkan hentakan dari permukaan jalan yang kecil juga dapat diserap. Ini yang membuatkan LM lebih selesa daripada Alphard/Vellfire biasa.

Sekarang macam mana? Ada ‘bahan’ baru untuk dibuat berangan sebelum tidur?

Promo toyota bandung