Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 di M’sia – 1.4L TSI, 150 PS/250 Nm, kawalan suara pintar; dari RM170k

0 Comments

harga toyota bandung

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga rasmi bagi model Golf R-Line Mk8 2022 iaitu RM169,990. Pada Februari lalu, hot hatch ini telah pun dibuka tempahannya dan tika itu ia ditawarkan pada harga anggaran antara RM155k hingga RM165k.

Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan dari kilang pengeluaran Volkswagen di Pekan, Pahang, Golf R-Line Mk 2022 ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 250 Nm. Ia juga dipadankan bersama transmisi baharu daripada Aisin, iaitu unit automatik torque converter lapan-kelajuan yang menggantikan kotak gear klac berkembar DSG pada model R-Line sebelum ini. Dalam pasaran antarabangsa, Golf Mk8 ini juga datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas 1.5 eTSI, tetapi ia tidak dibawa ke Malaysia.

Untuk penggayaannya, Golf 2022 ini ditampilkan dengan sentuhan lebih sporty dan ekspresif. Direka dengan tumpuan kepada kecekapan aerodinamik, bampar hadapan berbentuk-C itu lebih rendah untuk prestasi yang lebih responsif. Penampilan sporty itu disempurnakan lagi dengan rim aloi Valencia bersaiz 17-inci dan sepasang paip ekzos krom hiasan berbentuk trapezoid.

Selain itu, ia juga diberikan lampu utama LED Plus, lampu belakang LED dan juga lencana ‘R’ yang mungkin boleh menyebabkan orang tersalah takrif ia sebagai model prestasi Golf R. Terdapat juga jalur LED nipis pada bahagian hadapan yang menyerlahkan lagi penampilannya.

Untuk bahagian dalamannya pula, aspek digital Golf R-Line ditingkatkan untuk lebih kemudahan dan ketersambungan yang lancar. Operasi intuitif kereta ini disokong oleh sistem kawalan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng. Ia memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “Saya sejuk” dan akan menaikkan suhu pendingin hawa.

Pengecaman dan kualiti suara untuk panggilan telefon adalah jelas kerana ia mampu mengesan individu yang bercakap (pemandu atau penumpang), seterusnya memberi respons sewajarnya, seperti mengenal pasti zon pendingin hawa mana yang perlu diubah suai.

Selain itu, sentuhan minimalis diberikan untuk bahagian kabinnya, dengan ciri yang diberikan termasuklah tempat duduk yang dibalut padanan fabrik Sardegna dan kusyen sisi Art Velours, serta sulaman logo R pada penyandar kepala. Bentuk tempat duduk ini malah nampak lebih sporty berbanding tempat duduk GTI sementara di papan pemuka tidak banyak butang fizikal kerana diganti dengan panel sesentuh. Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Senarai kelengkapan untuk Golf R-Line ini termasuk butang pemula enjin, brek parkir elektronik (tanpa auto hold), lampu suasana, lampu utama automatik serta dua soket pengecas USB-C masing-masing di hadapan dan belakang.

Ruang dalaman yang selesa dan menyenangkan ditingkatkan lagi melalui sistem pendingin hawa tiga-zon Climatronic dengan larasan suhu boleh dilakukan menerusi sentuhan pada kawalannya atau melalui arahan suara. Ada dua mod utama untuk pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate dengan setiap satunya dilengkapi pelbagai fungsi berguna. Ia juga dilengkapi ciri Air Care untuk menapis spora, debunga dan partikel bagi memastikan udara kekal bersih.

Kabinnya juga diberikan pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna yang boleh disambungkan dengan mod pemanduan. Malah terdapat lima mod warna yang telah ditetapkan iaitu Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, dan Vitality serta tetapan individual yang boleh dipilih.

Untuk sistem keselamatan, ciri yang diberikan termasuklah Electronic Stability Control, Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kali kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan understeer. Selain itu, ia turut didatangkan dengan enam beg udara, ABS, ESP dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Tiada ciri bantuan seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) ataupun sistem semi autonomous lain pada model ini.

Hot hatch ini didatangkan dalam lima warna termasuklah dua warna baharu iaitu Moonstone Grey dan (metallic Kings Red). Warna lain termasuklah Atlantic Blue, Deep Black dan Oryx White. Ia ditawarkan dari harga RM169,990 dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun dan bantuan tepi jalan juga selama lima- tahun.

GALERI: Volkswagen Golf R-Line 2022

Promo toyota bandung